Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Sesi Taklimat dan Perkongsian: Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO) di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Miliki potensi besar, MB galak syarikat teroka pelaburan aeroangkasa

SHAH ALAM, 11 JUN: Selangor berpotensi besar meneroka peluang rangkaian dan pelaburan baharu terutama dalam aeroangkasa bagi merancakkan ekonomi negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dengan 62 peratus syarikat berkaitan bidang itu beroperasi di Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berharap lebih banyak pihak mengambil peluang menjadi sebahagian daripada ekosistem industri.

“Lebih 20 institusi pengajian tinggi dan akademi di negeri ini turut menawarkan pembelajaran berkaitan aeroangkasa, (justeru) Selangor sangat berpotensi meneroka peluang tersebut.

“Kerajaan Negeri berharap lebih banyak syarikat di Selangor akan mengambil peluang menjadi sebahagian daripada ekosistem industri aeroangkasa sedunia,” tulisnya di Facebook hari ini.

Dato’ Menteri Besar sebelum ini menyasarkan Selangor sebagai pemain utama industri aeroangkasa di peringkat global pada 2030, yang diperkukuh melalui Pelan Tindakan Aeroangkasa kendalian Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan.

Sepuluh tahun lagi, aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia dijangka mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).


Pengarang :