Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail diwawancara pada Majlis Anugerah Kampungku Raya yang disiarkan secara langsung di Facebook Kitakan Sekampung pada 5 Jun 2020. Foto REMY ARIFI/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

MPKK Kampung Sungai Kertas juara Kampungku Raya

SHAH ALAM, 6 JUN: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Kertas, Gombak dinobatkan juara Pertandingan Video Pendek Kampungku Raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di musim Covid-19 anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.

EXCOnya Rodziah Ismail berkata kampung itu menambat perhatian juri selepas video dipaparkan di laman Facebook Kitakan Sekampung mendapat jumlah tontonan lebih 26,000 termasuk 340 tanda suka dan 274 perkongsian.

“Ini antara inisiatif baharu diperkenalkan bagi mencungkil kreativiti ahli MPKK sekali gus berpotensi mengetengahkan keunikan sesebuah kampung tradisi di negeri ini.

“Selepas ini kita akan terus mempromosikan kampung melalui pendekatan sama terutama sepanjang musim Covid-19 dan mungkin boleh membantu mereka dengan teknik dan cara rakaman video lebih baik,” katanya pada majlis pengumuman pemenang pertandingan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook, semalam.

Kemenangan itu melayakkan MPKK Kampung Sungai Kertas memperoleh wang tunai RM1,500 manakala naib juara Kampung Kanchong Darat, Kuala Langat (RM1,000) dan ketiga Kampung Sungai Kandis, Klang (RM700).

Sebanyak 34 penyertaan diterima daripada MPKK bermula 21 Mei hingga 30 Mei lalu dari seluruh Selangor.


Pengarang :