AGENDASUKANKINI

MSN: Kontrak jurulatih Sukma Selangor disambung hingga Disember

SHAH ALAM, 18 JUN: Kontrak 92 jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) Selangor yang tamat bulan depan akan disambung sehingga Disember ini, kata pemangku pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN).

Mohamad Nizam Marjugi berkata pihaknya turut memohon peruntukan tambahan bagi memastikan khidmat mereka dikekalkan sehingga kejohanan Sukma Johor tahun depan.

“MSN Selangor akan mohon peruntukan baharu bagi mengekalkan semua jurulatih demi memastikan prestasi serta persiapan atlet tidak terjejas,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohamad Nizam berkata elaun bulanan jurulatih dan atlet dibayar seperti biasa walaupun Sukma Johor 2020 ditunda.

Sukma Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 11 hingga 19 Julai ini ditunda pada 6 hingga 14 Mac 2021 manakala Para Sukma dijadualkan pada 5 hingga 10 April tahun depan.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.


Pengarang :