Selangorkini
Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abd Wahid menunjukkan kad kebenaran digital kepada pegawai bagi menunaikan Solat Jumaat di Masjid Negeri, Shah Alam pada 12 JUN 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA SELANGOR

Mufti Selangor: Tidak wajib solat Jumaat jika tiada jemputan

SHAH ALAM,12 JUN: Ahli kariah tidak diwajibkan mendirikan solat Jumaat jika tidak mendapat jemputan atau terpilih untuk menunaikan ibadah itu, kata mufti Selangor.

Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata hukum terhadap ahli kariah juga tidak berdosa dan perlu menggantikan dengan solat zuhur.

“Sebagai umat Islam, kita perlu akur biarpun ketetapan ini amat berat untuk diterima, namun ulil amri bertanggungjawab melaksanakan langkah pencegahan terbaik demi menjaga kemaslahatan umum bertepatan dengan kaedah fiqh.

“Mengambil kira perkembangan terkini wabak Covid-19 yang masih belum ada penawarnya, langkah pencegahan untuk menjaga keselamatan dan nyawa tetap diteruskan berdasarkan prinsip maqasid syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru untuk sama-sama berdoa kepada Allah SWT supaya wabak tersebut segera diangkat bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dengan lebih banyak bilangan masjid yang dibuka.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan bilangan jemaah untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu berjemaah di 39 masjid di negeri ini ditambah daripada 12 kepada 40 orang berkuat kuasa hari ini.

Titah baginda jumlah itu tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid manakala jemaah diberikan kad jemputan.


Pengarang :