Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat yang hadir membuat saringan Covid-19 di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MYEG lancar portal sehenti saringan Covid-19

KUALA LUMPUR, 7 JUN: MY E.G. Services Bhd (MyEG) hari ini melancarkan portal sehenti bagi saringan Covid-19, bertujuan membantu kerajaan memantau dan mempercepat ujian bagi pekerja-pekerja di Malaysia.

Menurut kenyataan MyEG, inisiatif yang disokong Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu berperanan sebagai saluran alternatif bagi majikan mendaftarkan dan menjadualkan ujian Covid-19 untuk pekerja masing-masing menerusi Program Saringan Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Majikan yang layak di bawah program ini akan menerima subsidi sebanyak RM150 untuk setiap ujian yang dijalankan ke atas pekerja yang mencarum dalam Perkeso.

“Bagi yang bukan pencarum Perkeso serta tidak layak menerima subsidi, mereka boleh mengatur saringan menerusi portal sehenti MyEG dengan kos RM150 setiap ujian,” demikian menurut kenyataan itu.

MyEG akan mengatur saringan di premis majikan dengan dikendalikan oleh pengamal perubatan yang mematuhi sepenuhnya garis panduan Kementerian Kesihatan menerusi kerjasama dengan klinik panel yang diluluskan.

“Setelah selesai saringan, pekerja akan diberikan sijil digital berasaskan kod QR melalui aplikasi mudah alih MyEG sebagai bukti ujian yang diiktiraf oleh KSM,” menurut kenyataan itu.

Data berkaitan saringan pekerja yang dikumpul oleh portal sehenti itu akan diserahkan kepada KSM bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih cekap.

“Majikan yang telah selesai menjalankan saringan digalak mengisytiharkan status mereka menerusi portal itu bagi memastikan kementerian menerima maklumat terkini,” kata MyEG.

Majikan boleh mengakses portal itu menerusi http://www.myeg.com.my untuk mendaftar atau mendapatkan maklumat lanjut.

-BERNAMA


Pengarang :