AGENDANASIONAL

Nadma terima sumbangan RM53 juta untuk Tabung Covid-19

PUTRAJAYA, 11 JUN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini menerima sumbangan wang tunai dan barangan bernilai lebih RM53 juta dari sembilan syarikat dan organisasi untuk Tabung Covid-19.

Kesemua sumbangan disampaikan oleh wakil syarikat penyumbang kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datin Mastura Mohd Yazid di ibu pejabat Nadma di sini hari ini.

Nadma dalam kenyataan memberitahu barangan tersebut akan digunakan oleh petugas barisan hadapan.

”Sumbangan diterima hari ini akan membantu negara menguruskan fasa pemulihan wabak Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Sembilan syarikat yang memberikan sumbangan itu ialah Ali Baba Foundation dan Jack Ma Foundation; Crecom Burj Group Sdn Bhd; Wipro Unza (M) Sdn Bhd; Overseas Chinese Muslim Association of Malaysia; Pestech International Berhad; Vistana Tropika Sdn Bhd; CLA Global Holdings Sdn Bhd; Yayasan MRCB dan Acasia Communication Sdn Bhd.

Tabung Covid-19 dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac bagi memberi bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas susulan penularan Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :