Pengarah Jais, Shahzihan Ahmad. Foto SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Operasi Jais dibuka semula bermula Isnin

SHAH ALAM, 13 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan beroperasi sepenuhnya termasuk perkhidmatan sembilan kaunter di Pejabat Agama Islam Daerah bermula Isnin ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan, kata pengarahnya.

Mohd Shahzihan Ahmad berkata pelanggan yang membuat janji temu semasa PKP Bersyarat akan diberi laluan awal untuk urusan hal ehwal nikah, cerai dan rujuk (NCR) diikuti mereka yang hadir secara biasa bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari bekerja.

“Jais ingin menyarankan kepada semua pelanggan untuk berada dalam keadaan sihat, tidak bergejala serta sentiasa memakai pelitup muka semasa berurusan di jabatan ini.

“Untuk makluman juga, kadar kehadiran dijangka lebih tinggi berbanding sebelum PKP. Justeru, pihak kami memohon kerjasama semua untuk berada dalam keadaan tenang, berdisiplin dan sabar semasa menunggu giliran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, bagi perkhidmatan runding cara kekeluargaan, pelanggan masih perlu mendapatkan janji temu terlebih dahulu di laman sesawang eprihatin.jais.gov.my sebelum hadir berurusan.

Mohd Shahzihan berkata semua urusan berkaitan perkhidmatan lain turut dibuka bermula dari 8.30 pagi hingga 1 tengah hari dan disambung semula pada 2 hingga 4.30 petang sepanjang Isnin hingga Khamis.

Pada Jumaat pula perkhidmatan dibuka dari 8.30 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung semula pada 2.45 petang hingga 4.30 petang.


Pengarang :