Izyan Farhana Sapei,26 (belakang) mengambil inisiatif untuk mengunting rambut adiknya, Mohamad Irfan Sapei, 19 (depan) ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 20 Mei 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Operasi kedai gunting, dandan rambut dibenarkan bermula 10 Jun

SHAH ALAM, 6 JUN: Perkhidmatan gunting serta dandan rambut dibenarkan beroperasi semula bermula 10 Jun ini dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun warga emas berusia 60 ke atas diwajibkan membuat temujanji terlebih dahulu sementara kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah perlu memakai alat pelindung diri dan apron pakai buang.

“Ini adalah perniagaan yang paling ditunggu-tunggu, oleh itu selepas perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kedai gunting rambut, dandanan dan kecantikan akan dibuka 10 Jun dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya lagi, sektor perniagaan gunting rambut yang melibatkan 74,500 pekerja menjadi antara penyumbang ekonomi terbesar negara.

“Sektor ini menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak RM13.5 bilion setahun, jadi sumbangannya amat besar kepada pendapatan negara,” katanya.

Selain itu katanya, pengusaha perlu menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala dikongsi.

Ismail Sabri berkata SOP juga memerlukan pekerja memakai pelitup muka, apron pakai buang selain sarung tangan berbeza bagi setiap pelanggan.

Katanya, pengusaha juga perlu memastikan jarak antara setiap kerusi sejauh sekurang-kurangnya dua meter bagi setiap pelanggan.


Pengarang :