Aktiviti perniagaan oleh penjaja haram di sekitar Tesco Pelangi Semenyih, Kajang menyebabkan laluan itu sesak dengan kenderaan pelanggan yang berhenti di bahu jalan. Foto ihsan Facebook MPKj
PBTSELANGOR

Operasi tanpa kebenaran, MPKj arah 40 penjaja henti niaga

SHAH ALAM, 8 JUN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengarahkan 40 penjaja haram di sekitar Tesco Pelangi Semenyih menghentikan serta-merta perniagaan mereka kerana beroperasi tanpa kebenaran.

Pegawai Perhubungan Awamnya Kamarul Izlan Sulaiman berkata arahan dibuat ketika operasi oleh Jabatan Pelesenan dan Penjaja pada 5 Jun lalu.

“Selain tidak mempunyai permit sah daripada MPKj mereka menyebabkan kawasan ini sesak dengan kenderaan pelanggan yang berhenti di bahu jalan.

“Malah, mereka menyebabkan kawasan di sini menjadi kotor termasuk meninggalkan kelengkapan perniagaan selepas tamat berniaga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata hanya 10 penjaja dibenarkan meneruskan perniagaan di kawasan berkenaan kerana memiliki permit sah namun dinasihatkan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Mereka juga diingatkan membersihkan kawasan sekitar dan tidak meninggalkan barang perniagaan. Permit boleh ditarik serta-merta sekiranya gagal mematuhi ketetapan,” katanya.


Pengarang :