SHAH ALAM, 11 JUN: Beberapa kawasan di Klang dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah berhampiran sebuah restoran makanan segera di Jalan Langat.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata insiden itu berlaku ekoran kerja-kerja pengorekan oleh pihak ketiga di lokasi terbabit semalam.
“Kerja pembaikan paip pecah tidak dapat siap seperti dijadualkan 10 pagi ini disebabkan kedalaman paip pecah melebihi dua meter di dalam tanah dan memerlukan pengukuhan ruang pembaikan terlebih dahulu.
“Selain itu, kerja pengalihan kabel oleh syarikat utiliti lain juga perlu dilakukan di tapak. Kerja pembaikan kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap 4 petang ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata bekalan air dijangka akan disalurkan 2 pagi esok selepas kerja pembaikan siap namun bantuan melalui lori tangki sedang digerakkan ke kawasan terjejas.
Air Selangor terus menyalurkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com .
Senarai kawasan terlibat gangguan bekalan air seperti berikut :
Klang
-Bandar Bistari
-Bt 5 dan Bt 6 di Jalan Langat
Kuala Langat
-Batu 7 hingga Batu 9 Sijangkang
-Jalan Sijangkang Utama
-Taman Medan
-Taman Perwira
-Taman Sijangkang Jaya
-Batu 9 Kebun Baru
-Eco Santuary
-Tropicana Aman
-Sekitar Bt 9, Kg Medan