AGENDANASIONAL

Pakatan kecam tindakan cuba takutkan pemimpin pembangkang

SHAH ALAM, 22 JUN: Pakatan Harapan (Pakatan) mengecam tindakan pihak berkuasa yang cuba menakut-nakutkan pemimpin pembangkang dengan menjalankan siasatan terhadap individu yang mengkritik dasar kerajaan.

Majlis Setiausaha Pakatan berkata kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya lebih matang dan terbuka menangani pendirian politik yang berbeza daripada seteru politik mereka.

“Tindakan ini hanya akan mewujudkan persepsi negatif terhadap politik dan demokrasi Malaysia di mata dunia, justeru Majlis Setiausaha menggesa ia dihentikan serta-merta.

“Demokrasi di Malaysia harus dipertahan dan diselamatkan dari pihak yang ingin merosakkan keadaan demi kepentingan peribadi dan kelompok politik mereka,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Majlis Setiausaha Pakatan dianggotai Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Parti Keadilan Rakyat-KEADILAN), Khalid Abdul Samad (Amanah) dan Anthony Loke (DAP).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh disoal siasat kerana mempersoalkan status pelan strategi kebangsaan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur.

Turut disoal siasat Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar berhubung klip video pendek mempersoalkan persidangan Dewan Rakyat yang dijalankan sehari pada 18 Mac lalu.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga dipanggil memberi keterangan berhubung temu bual bersama agensi berita antarabangsa yang didakwa berbaur hasutan.


Pengarang :