Sebuah lori hampir terbalik di bahu jalan selepas menyedari kehadiran penguat kuasa MPS yang menjalankan rondaan di lokasi panas pembuangan sampah haram di Kampung Sungai Pusu, Gombak pada 1 Jun 2020. Foto ihsan MPS
PBTSELANGOR

Panik nampak penguat kuasa, lori buang sampah haram terbabas

SHAH ALAM, 2 JUN: Seorang pemandu lori terbabas dan kenderaannya hampir terbalik sejurus melihat kehadiran penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di tapak pembuangan sampah haram di Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Dalam kejadian 10 pagi semalam, lori terbabit dipercayai baharu sahaja membuang sampah di kawasan berkenaan sebelum cuba melarikan diri.

Lokasi panas pembuangan sampah haram di Kampung Sungai Pusu. Foto ihsan MPS

“Pemilik lori dikenakan kompaun RM1,000 selain kenderaan disita dan maklumat semua pemandu diambil,” kata Pengarah Jabatan Korporat MPS Mohamad Zin Masoad dalam kenyataan.

Menurutnya, sebanyak tiga lori dikesan melakukan kesalahan sama ketika rondaan di kawasan terbabit.

Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 21 (sitaan) dan Seksyen 4 (kompaun) di bawah UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah MPS (2007).

Sementara itu, Mohamad Zin memaklumkan pihaknya turut menahan sebuah lori di Jalan Ulu Yam selepas dikesan membuang sampah di kawasan tersebut dan dikenakan tindakan sama.

“Satu laporan polis akan dibuat untuk memastikan individu atau syarikat terbabit dengan aktiviti pembuangan sampah haram dikenakan tindakan selanjutnya di bawah peruntukan undang-undang yang ada.

“MPS serius dalam isu pembuangan sampah haram dan akan menjalankan pemantauan lebih rapi setiap masa terutama di kawasan panas sampah haram,” katanya.


Pengarang :