ADNSELANGOR

Pasang lampu LED elak wayar dicuri, vandalisme – Azmizam

SHAH ALAM, 22 JUN: Pemasangan sistem lampu jalan diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar di Persiaran Pulau Lumut (Laguna Park) dijangka mengatasi masalah kecurian wayar dan vandalisme yang sering berlaku.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata ia kerana sistem terbabit menggunakan teknologi terkini iaitu tanpa wayar bagi membekalkan sumber tenaga elektrik.

“Terima kasih Kerajaan Negeri terutama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kerana meluluskan peruntukan kewangan untuk tujuan pemasangan lampu yang dijangka siap akhir Julai ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata pada peringkat permulaan sebanyak 200 tiang lampu dipasang bermula dari Persimpangan Lebuhraya Pulau Indah hingga ke Jambatan Sungai Pinang.

Azmizam berkata semua unit kuasa seperti bateri dan panel solar akan berada pada ketinggian 10 meter atas lampu bagi mengelakkan kes sama berulang.

“Justeru, pengguna jalan raya tidak perlu lagi melalui kawasan tersebut dalam keadaan gelap kerana lampu akan menyala selama 12 jam sehari dengan kecerahan akan dikurangkan selepas jam 12 tengah malam bagi menjimatkan kuasa bateri,” katanya.

Difahamkan sebelum ini sering berlaku kes kecurian wayar dan kabel di kawasan tersebut melibatkan individu tidak bertanggungjawab.


Pengarang :