Urusan jual beli dilakukan secara pandu lalu di Pasar Agro Selangor menjelang Aidilfitri di Seksyen 13, Shah Alam pada 23 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pasar Agro Selangor beri manfaat kepada peniaga, pembeli

SEPANG, 22 JUN: Operasi Pasar Agro Selangor secara pandu lalu akan diteruskan memandangkan ia memberi manfaat kepada peniaga dan pembeli, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata pasar itu juga akan ditambah baik selaras dengan tatacara operasi piawai (SOP) bagi memudahkan semua pihak.

“Kita akan teruskan. Sejak dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), nilai jualan mencecah hampir RM15 juta.

“Pembeli turut memuji kerana jualan lebih segar dan murah berbanding harga kawalan malah proses pembelian mudah tanpa memerlukan pembeli keluar kereta,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Lanjut hari ini.

Izham berkata, pelaksanaan pasar berkenaan juga membantu masalah lambakan hasil pertanian yang dihadapi petani malah pihaknya memperuntukan RM250,000 membeli hasil pertanian itu.

Selangor mempunyai 10 Pasar Agro Selangor iaitu di Dengkil, Puchong, Petaling Jaya, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Ia disusuli Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Pasar Tani Selayang, My Farm Outlet Putrajaya, Seksyen 13 dan Seksyen 15 di Shah Alam.


Pengarang :