Pasar Besar Jalan Othman di Petaling Jaya menjalani nyahkuman pada 27 April 2020. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

Pasar Besar Jalan Othman kembali operasi esok

SHAH ALAM, 5 JUN: Pasar Besar Jalan Othman di Petaling Jaya yang ditutup sementara Mei lalu susulan kes Covid-19 akan dibuka semula esok, dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata kebenaran operasi pasar membolehkan aktiviti perniagaan berlangsung seperti biasa.

“Setiap peniaga perlu mematuhi arahan baharu Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan syarat yang diperketatkan selari pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat serta norma baharu,” katanya dalam kenyataan.

Pada 10 Mei lalu, Pasar Besar Jalan Othman menjadi kawasan kelapan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan susulan 23 kes Covid-19 dikesan.

Sementara itu, Mohd Sayuthi menegaskan peniaga pasar dilarang melantik pembantu warga asing atau lesen ditarik dan perlu sentiasa menjaga kebersihan premis masing-masing.

“Pengunjung pula diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, menjaga penjarakan sosial dan mengimbas kod bar sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) sebelum masuk ke premis,” katanya.


Pengarang :