Hee Loy Sian meninjau keadaan Pasar Kajang yang kembali beroperasi pada 2 Jun 2020. Foto Facebook Hee Loy Sian
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pasar Kajang kembali operasi, ikut SOP ketat

SHAH ALAM, 3 JUN: Pasar Kajang yang ditutup sementara bagi proses nyahkuman Mei lalu dibuka semula kepada orang ramai semalam dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Ahli Dewan Negeri Kajang Hee Loy Sian berkata hanya 30 pelanggan dibenarkan memasuki pasar pada satu-satu masa bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Pelanggan perlu mengimbas kod bar aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), mencatat nama dan nombor telefon serta diperiksa suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

“Bagi mengawal kesesakan di pasar, persatuan peniaga hanya membuka satu lorong masuk selain memantau penjarakan sosial satu meter dalam kalangan pelanggan,” katanya yang juga EXCO hal ehwal pengguna.

Semalam, Loy Sian bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Dato’ Zul-Kefli @ Zulkefli Khalid meninjau keadaan pasar yang selesai menjalani proses pembersihan.

Pada 20 Mei lalu, pasar terbesar di Hulu Langat itu diarah tutup lima hari susulan lima peniaga dijangkiti Covid-19 membabitkan tiga warga tempatan dan dua lagi warga asing.

Sementara itu, Loy Sian memaklumkan tiada kes baharu Covid-19 dikesan di kawasannya selain kes di  Depoh Tahanan Imigresen Semenyih dan Putrajaya membabitkan warga asing.


Pengarang :