PBTSELANGOR

Pasar malam di Petaling Jaya kembali operasi esok

SHAH ALAM, 21 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menetapkan operasi pasar malam akan bermula semula esok dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Sekretariat media Unit Komunikasi Korporatnya berkata semua peniaga termasuk dari pasar pagi yang dibuka 23 Jun ini sudah diberi taklimat mengenai norma dan syarat baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kita juga menekankan bahawa peniaga pasar dilarang untuk melantik pembantu dalam kalangan warga asing serta sentiasa menjaga kebersihan.

“Kegagalan mematuhi mana-mana syarat boleh menyebabkan lesen perniagaan akan ditarik dan tidak dibenarkan untuk berniaga,” katanya menerusi kenyataan.

Syarat lain digariskan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang perlu dipatuhi penjaja dan pengunjung seperti berikut:

1. Menggunakan pelitup muka, sarung tangan dan apron

2. Pelesen atau pembantu mempunyai gejala Covid-19 tidak dibenarkan berniaga dan mereka mesti tidak terlibat sebagai pesakit bawah pengawasan (PUS) dan pesakit bawah pemantauan (PUI) atau perintah kuarantin

3. Jumlah pelesen dan pembantu di petak perniagaan terhad tiga orang

4. Memastikan pelanggan mematuhi penjarakan sosial satu meter

5. Menggalakkan pelanggan memakai pelitup muka semasa urusan jual beli

6. Peniaga perlu mematuhi jadual penggiliran ditetapkan

7. Mendaftar menggunakan kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) sebelum masuk ke kawasan pasar malam atau pagi

8. Hanya dua ahli keluarga dibenarkan mengunjungi pasar malam atau pagi manakala pengunjung berumur 13 tahun ke bawah dilarang.


Pengarang :