AGENDANASIONAL

Pasar raya terkemuka dikena tindakan miliki barang kawalan lebih stok

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Sebuah pasar raya terkenal di Setiawangsa dikenakan tindakan kerana disyaki melakukan dua kesalahan iaitu memiliki barang kawalan berjadual melebihi stok yang dibenarkan serta tidak menyelenggara buku stok.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan tindakan itu diambil selepas melakukan pemeriksaan mengejut di pasar raya berkenaan semalam, 15 Jun.

“Hasil daripada serbuan tersebut, pasukan penguat kuasa telah menyita 1,767 kg minyak masak, 2,538 kg tepung gandum dan 1,397 kg gula dengan nilai sitaan berjumlah RM50,743.40,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, siasatan lanjut ke atas pemilik perniagaan berkenaan sedang dijalankan bersabit dengan kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki atau meyimpan barang kawalan berjadual melebihi had yang dibenarkan dalam lesen dan Peraturan 13 (1) Perintah-perintah Kawalan Bekalan 1974.

Selain itu, pemeriksaan mengejut itu juga dilakukan bagi menilai pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terhadap pasar raya berkenaan yang telah diluluskan beroperasi 24 Jam oleh Crisis Management Centre (CMC) Kuala Lumpur pada 12 Jun lepas.

“Dari segi pematuhan SOP PKPP didapati berlaku ketidakpatuhan berikutan ketidakfahaman pemilik pasar raya tersebut dengan SOP yang dikeluarkan.

“Bagaimanapun, KPDNHEP Kuala Lumpur telah memberikan bimbingan dan penerangan pada hari tindakan kes diambil dan pasar raya tersebut telah mengambil langkah serta-merta pada hari sama dan didapati telah melaksanakan semua SOP yang berkaitan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, semua pasar raya dan premis perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diminta untuk mematuhi keputusan CMC Kuala Lumpur untuk menggunakan Aplikasi My Sejahtera bagi urusan pendaftaran kemasukan pelanggan ke dalam premis.

Sehingga 15 Jun, sebanyak 3,655 premis telah diperiksa oleh KPDNHEP Kuala Lumpur bagi tujuan pemantauan pelaksanaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

– BERNAMA


Pengarang :