AGENDAEKONOMI

Pasaran getah dijangka terus momentum positif

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan aliran peningkatannya minggu depan, didorong oleh unjuran kukuh pasaran niaga hadapan getah serantau serta sentimen ekonomi tempatan dan global yang mencatat prestasi lebih baik, kata peniaga.

Beliau memberitahu Bernama, sentimen pasaran niaga hadapan getah serantau itu semakin memberangsangkan selepas pengumuman mengenai bantuan kewangan tambahan dari China dan Kesatuan Eropah.

“Bank pusat China dilapor menyuntik sejumlah 150 bilion yuan (RM90.2 bilion) dalam sistem perbankan pada Jumaat menerusi perjanjian pembelian balik selama tujuh hari, di samping mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 2.20 peratus.

“Bank pusat Eropah pula pada Khamis mengumumkan ia akan meningkatkan Program Pembelian Kecemasan Pandemik sebanyak 600 bilion euro (RM2.9 trilion) untuk merangsang ekonomi berikutan krisis Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata permintaan getah dunia akan kembali mencatatkan pertumbuhan positif pada bulan ini dengan jangkaan penggunaan getah asli berkembang sebanyak 0.4 peratus selepas merosot pada April (-23.1 peratus) dan Mei 2020 (-10.1 peratus).

Dalam satu kenyataan semalam, LGM berkata permintaan dari China selaku pengguna terbesar getah asli dunia dijangka meningkat untuk menyokong perkembangan sektor automotif, manakala penjualan kenderaan pada April menokok 4.4 peratus tahun ke tahun selepas mencatatkan pertumbuhan negatif sejak 21 bulan sebelumnya.

“Situasi itu menggambarkan pasaran getah dijangka bergerak positif sejajar dengan peningkatan permintaan getah asli dunia memandangkan kebanyakan negara di dunia telah melonggarkan perintah berkurung dan membuka semula aktiviti ekonomi mereka secara berperingkat,” menurut LGM.

Pasaran getah akan ditutup pada Isnin bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan fizikal LGM bagi gred tayar SMR 20 melonjak 11 sen kepada 485.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal naik 21 sen kepada 471.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 naik 8.5 sen kepada 486.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal menambah 22.5 sen kepada 474 sen sekilogram.

-BERNAMA


Pengarang :