AGENDAEKONOMI

Pasaran modal Islam dijangka aktif pada Jun-Ogos 2020

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Pasaran modal Islam Malaysia dijangka menyaksikan aktiviti pasaran modal ekuiti yang lebih rancak dan diunjurkan terus cerdas bagi tempoh Jun sehingga Ogos tahun ini.

Pengarah Urusan Kanan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank Bhd Mohamad Safri Shahul Hamid berkata pasaran modal tersebut agak lembap sejak tiga bulan lepas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pertengahan Mac lepas bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Kita berada dalam tempoh yang tidak dijangkakan dan sesiapa pun tidak mungkin dapat meneka dengan tepat keadaan masa depan serta sejauh mana modal Islam terjejas akibat pandemik itu.

“Tidak dapat dinafikan wujudnya impak jangka pendek sehingga pertengahan dalam semua segmen ekonomi termasuk institusi perbankan, bank pelaburan, syarikat pengurusan aset dan firma insurans atau secara amnya keseluruhan industri kewangan dan perantaranya,” katanya pada sesi webinar mengenai Unjuran Pasaran Modal Islam anjuran CERT Events Sdn Bhd pada Khamis.

Mohamad Safri berkata industri kewangan juga dijangka mencatat keuntungan dan pendapatan lebih rendah tahun ini berikutan krisis kesihatan awam tersebut yang memberi impak besar terhadap industri.

“Pasaran menyaksikan peningkatan kerugian peruntukan pinjaman bank-bank komersial dan bank-bank pelaburan, penurunan jumlah urus niaga manakala syarikat pengurusan aset pula berdepan masalah pemegang unit yang menarik diri.

“Ini memaparkan kemungkinan ramai yang memilih untuk berada di luar pasaran dan enggan melabur wang dan mereka ini mewakili segenap latar belakang,” katanya.

Beliau berkata bank-bank juga kurang teruja untuk menawarkan pembiayaan serta pinjaman kepada pelanggan-pelanggan baharu manakala pelaburan sukuk serta bon terutamanya dana persaraan, juga lesu.

Pasa masa sama, syarikat pengurusan aset juga perlu memastikan terdapat bakal pembeli atau pelanggan yang mencukupi untuk membeli atau melabur dalam unit sekiranya berhasrat menawarkan dana-dana baharu.

Bagaimana pun, katanya, selepas kelonggaran PKP pada 9 Mei, pasaran menyaksikan kehadiran ramai penerbit sukuk ke dalam pasaran, khususnya ruang untuk ringgit malah di peringkat global seperti di Dubai dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) lain.

“Oleh itu, berdasarkan apa yang kita lihat dan dengar, adalah dijangkakan pasaran akan menjadi amat aktif pada Jun sehingga Ogos depan. Pada masa ini kita melihat jangka masa tiga bulan itu ketika masa semakin singkat berikutan ketidaktentuan di pasaran.

“Jika dilihat dari segi jangka pendek sehingga pertengahan meliputi kira-kira tempoh tiga bulan, saya berpendapat kita boleh yakin bahawa keadaan sememangnya baik untuk pasaran sukuk Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Safri berkata tumpuan juga harus diberikan kepada Indonesia dari segi ruang serta peluang pasaran kewangan Islam yang disifatkannya sebagai ‘lubuk’ pertumbuhan pada masa depan.

Menurutnya, walaupun Indonesia bermula agak lewat, pasaran sukuk rupiah sebaliknya mencatat pertumbuhan amat ketara dengan 30-40 peratus terbitan baharu di negara berkenaan.

Selain itu, katanya, terdapat aktiviti pertumbuhan yang rancak dalam pasaran modal ekuiti Islam dengan hampir 70 peratus saham yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah berstatus patuh Syariah.

Beliau berkata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) juga mempunyai garis panduan saringan terhadap ekuiti patuh Syariah yang menarik dan pasaran kini memberi perhatian kepada saringan serta garis panduan saham mapan yang akan dikeluarkan SC tidak lama lagi.

-BERNAMA


Pengarang :