Petugas pembersihan R&R Nilai Selatan membersihkan meja sebagai persiapan sebelum dibuka sepenuhnya kepada pengguna PLUS pada 10 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Patuhi SOP ketika di R&R lebuh raya – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 12 JUN: Pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) terutama ketika singgah ke kawasan rehat dan rawat (R&R), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan kerajaan menjangkakan ramai orang mulai pulang ke kampung hari ini hingga Ahad.

“R&R juga mesti dipenuhi pengunjung justeru kerajaan memperkenalkan SOP di kawasan itu seperti pembersihan premis secara kerap, merekod suhu badan pengunjung serta menyediakan kemudahan mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman.

“Pengunjung juga perlu merekodkan nama, nombor telefon dan suhu badan melalui aplikasi MySejahtera atau secara bertulis,” kata beliau pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata umat Islam yang ingin menunaikan solat di surau R&R juga perlu dihadkan dan disaran membawa kelengkapan solat sendiri seperti telekung serta sejadah.

“Kawasan permainan kanak-kanak di R&R juga ditutup buat masa ini. Manakala, gerai makan dibenarkan beroperasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam bagi kemudahan pengunjung.

“Orang ramai diminta untuk mematuhi SOP R&R yang telah ditetapkan dan juga mengamalkan disiplin diri apabila berada di kampung halaman,” katanya.


Pengarang :