Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres
AGENDAGLOBAL

PBB: Pendekatan global kunci utama tangani Covid-19

NEW YORK, 26 JUN: Negara dunia digesa memperkukuh kerjasama pelbagai hala melalui pendekatan global bagi menangani pandemik Covid-19, kata setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Antonio Guterres berkata demikian pada malam ulang tahun ke-75 Piagam PBB lapor AFP.

Beliau menjelaskan dunia kini diancam pergolakan bergelut dengan Covid-19 dan perubahan iklim, ketidakadilan perkauman berleluasa serta ketidaksamaan kian meningkat dengan kesemuanya harus ditangani melalui semangat multilateralisme diperbaharui.

“Kita tidak boleh berpatah balik kepada cara seperti dulu dan sewenang-wenangnya mencipta semula sistem yang memburukkan lagi krisis itu. Kita mesti bersama-sama merenung dan membina semula dunia yang dikongsi ini.

“Kita memerlukan satu pendekatan multilateralisme berkesan yang mampu berfungsi sebagai instrumen pentadbiran global yang diperlukan,” katanya kepada pemberita.

Guterres berkata, PBB berjaya membuktikan kebolehannya bertindak balas terhadap Covid-19 dengan menghantar 250 juta peralatan perlindungan diri (PPE) kepada lebih 130 negara, selain menyokong pendidikan kanak-kanak dan keperluan keluarga serta penjaga.

Beliau berkata, rangkaian bekalan PBB turut memainkan peranan penting dalam pengedaran barangan perubatan ke seluruh dunia ketika penularan Covid-19.

Katanya, sokongan PBB terhadap pembangunan vaksin, selain usaha beliau sendiri pada Mac lalu ke arah gencatan senjata di pelbagai zon konflik bagi mengekang virus terbabit daripada merebak, menjadi nilai utama pendekatan multilateral institusi berusia 75 tahun itu.

Piagam PBB ditandatangani di San Francisco pada 26 Jun 1945 ketika berakhirnya Perang Dunia Kedua sebelum dikuatkuasakan empat bulan kemudian.

Guterres berkata, dalam kalangan penduduk di banyak negara, tindak balas terhadap pandemik itu ternyata mengikis keyakinan mereka terhadap pertubuhan dan institusi politik.

Beliau berkata, pandemik itu menyebabkan ketidaksamaan yang sistemik serta teruk, dan pemimpin dunia perlu memperakui nilai kerjasama global untuk menangani krisis.

“Ketika memperingati Hari Piagam dan melihat ke depan, kita harus memikirkan kembali cara dunia bekerjasama.

“Kita perlu membina semula dengan lebih baik bersama ekonomi dan masyarakat yang lebih lestari, inklusif serta saksama terhadap jantina,” katanya.


Pengarang :