Tinjauan SelangorKini di Pasar Pagi MPSJ Bandar Puchong Jaya yang kembali dibuka pada 16 Jun 2020 dengan pematuhan SOP ketat. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

PBT berhak hentikan operasi peniaga tidak pakai pelitup muka

PUCHONG, 28 JUN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) berhak menghentikan operasi pasar pagi dan pasar malam jika peniaga gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) termasuk tidak memakai pelitup muka ketika berniaga.

EXCO kerajaan tempatan berkata pemakaian alat itu sebahagian daripada syarat di bawah undang-undang kecil PBT bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Tatacara operasi piawai (SOP) pasar pagi dan pasar malam sentiasa ditambah baik di setiap PBT malah jika ia tidak dipatuhi atau keadaan sukar dikawal maka PBT akan mengenakan tindakan.

“Mereka (PBT) perlu siasat, kalau langsung tidak dapat kawal, peniaga gerai terbabit kena tutup. Walaupun ia (tutup) bukan satu cara yang orang mahu tengok tetapi kita mengharapkan semua patuh SOP,” kata Ng Sze Han selepas melawat tapak pendakian Bukit Wawasan Puchong di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan boleh diambil terhadap peniaga kedua-dua operasi perniagaan itu yang tidak memakai pelitup muka ketika menjual makanan sedangkan pelanggan memakai alat itu.

Pada masa sama, Sze Han menyarankan semua masyarakat di negeri ini untuk mengamalkan konsep BELI semasa membuat pembelian di luar.

Konsep BELI merujuk kepada :
B – Beratur dan mengamalkan penjarakan sosial setiap masa
E – E-dompet sebagai pembayaran alternatif
L – Lajukan proses pembelian dan sediakan senarai beli belah
I – Imbas kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi memudahkan proses menjejak kontak rapat


Pengarang :