Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

PBT digesa pertimbang cadangan kajian sistem saliran elak banjir

SHAH ALAM, 5 JUN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mempertimbangkan  cadangan pelaksanaan kajian keberkesanan sistem saliran dalaman bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan pentadbiran masing-masing.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi berkata cadangan diajukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan sistem saliran lebih efisien susulan banjir kilat melanda sekitar Seksyen 13 dan Bukit Jelutong di sini semalam.

Katanya, agensi itu turut mencadangkan kaedah kawalan pada sumber dilaksanakan sebagai penyelesaian jangka panjang memandangkan Sungai Damansara sudah tidak mampu menampung air yang dialirkan secara cepat.

“Saya berharap cadangan penyelesaian ini dapat dikaji dan dilaksanakan dengan segera oleh agensi serta jabatan berkaitan bagi memastikan insiden banjir kilat (seperti berlaku semalam) dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, hujan lebat kira-kira jam 11.30 pagi mengakibatkan kereta yang diletakkan di kawasan parkir awam sebuah pasar raya berdekatan Stadium Shah Alam, Seksyen 13 di sini ditenggelami air.

Memetik Harian Metro, kawasan terbabit sudah beberapa kali mengalami banjir kilat sekitar 2015 dan 2018.

Dua tahun  lalu, kejadian berlaku ketika perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak sehingga menyebabkan banyak gerai jualan sekitar lokasi terbabit terjejas.

 


Pengarang :