AGENDANASIONAL

Peguam buat saringan Covid-19, kes 1MDB Najib tangguh

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy bagi kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sehingga esok setelah salah seorang peguam mengambil ujian saringan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan perbicaraan kes itu sementara menunggu keputusan ujian berkenaan yang dijangka diketahui 10 pagi esok.

Sebelum itu, peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon penangguhan susulan peguam tersebut memaklumkannya yang beliau mengalami demam dan batuk.

Muhammad Shafee berkata beliau dan peguam berkenaan bersama-sama terlibat dalam perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat lepas.

“Lebih kurang pukul 4 hingga 5 pagi ini, peguam berkenaan menghantar pesanan kepada saya memaklumkan beliau tidak dapat menghadiri perbicaraan kerana demam panas dan batuk.

“Saya segera menghantar pesanan kepadanya dan mengatur agar beliau membuat ujian saringan Covid-19 di klinik pagi ini. Keputusannya dijangka diketahui 10 pagi esok,” katanya.

Muhammad Shafee berkata beliau juga akan menjalani ujian sama sekiranya peguam tersebut disahkan positif Covid-19.

“Walaupun saya perlu menunggu keputusannya sebelum saya sendiri menjalani ujian itu, tetapi saya tidak mahu mengambil risiko … ini akan menjadi kali keenam bagi saya (menjalani ujian Covid-19),” katanya.

Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan pendakwaan, tidak membantah penangguhan itu.

Setakat ini tujuh saksi pendakwaan memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya, manakala Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu, untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :