AGENDANASIONAL

Peguam Negara perlu jelaskan keputusan lepas, bebas Musa Aman – PAKATAN

SHAH ALAM, 9 JUN: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PAKATAN) meminta penjelasan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Tan Sri Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, pagi tadi.

Majlis terbabit memaklumkan keputusan itu membingungkan dan mengecewakan memandangkan semua pertuduhan terhadap mantan Ketua Menteri Sabah itu membabitkan nilai lebih RM50 juta.

“Satu negara menyaksikan hakim Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusan melepas dan membebaskan Musa Aman, selepas Pejabat Peguam Negara menarik balik kesemua 46 pertuduhan terhadap beliau.

“Ini bukan jumlah pertuduhan dan jumlah wang yang kecil. Pejabat Peguam Negara perlu segera memberi penjelasan penuh berkenaan keputusan ini kerana ia bakal mencerminkan wajah sebenar pentadbiran yang ada hari ini,” kata kenyataan itu.

Ia adalah kenyataan bersama Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiusaha Agung Parti Amanah Negara, Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Pagi tadi, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Musa daripada semua tuduhan berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Keputusan itu dibuat selepas pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.

Hakim juga membatalkan dua permohonan daripada pihak pembelaan iaitu untuk membatalkan tuduhan dan permohonan bagi mencabar keperlembagaan Seksyen 82(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).


Pengarang :