Guru SMK Engku Husain Rohana Asha’ari (kiri) bersama Siti Fatimah Mahmud (kanan) dan Manisa Rahmat (tengah) menyusun meja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain pada 3 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelajar tingkatan lima dan enam mula sekolah 24 Jun

SHAH ALAM, 10 JUN: Sesi persekolahan bagi kelas peperiksaan awam membabitkan pelajar tingkatan lima dan enam di seluruh negara ditetapkan pada 24 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata keputusan dibuat setelah mengambil kira pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara.

“Kementerian Pendidikan menetapkan tarikh buka sekolah untuk murid kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia serta peperiksaan antarabangsa setara pada 24 Jun 2020,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Katanya, sesi pembelajaran di rumah akan diteruskan untuk pelajar yang tidak terlibat dengan peperiksaan awam dan sebarang perkembangan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Memandangkan guru-guru kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan yang ada,” jelasnya.

Mohd Radzi turut mengingatkan individu yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 Celcius atau bergejala tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah.

Pada 7 Jun lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

 


Pengarang :