Pelumba PETRONAS Sprint Yamaha Maju, Motor Ahmad Afif Amran (kiri) dan Md Akid Aziz ketika beraksi pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Sementara Dataran Seri Jempol pada 17 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pelumba Cub Prix kelas CP150 bakal terima gaji bulanan

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Pemegang taruh utama Kejohanan Cub Prix Malaysia memutuskan merombak sistem pembayaran semasa kepada pelumba acara itu dengan menggantikannya dengan elaun perlumbaan yang menyaksikan sistem gaji minimum secara bulanan.

Menurut kenyataan promoter perlumbaan Cub Prix iaitu Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd, keputusan itu dicapai semasa mesyuarat antara prinsipal pasukan CP150 pada awal minggu ini bagi membantu pelumba Cub Prix terutama dalam kelas CP150 yang paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Buat masa ini, pembaharuan ditumpukan hanya kepada kelas CP150 kerana ini adalah kelas profesional yang menyaksikan tugas pelumba sepenuh masa adalah berlumba,” kata jurucakap kumpulan itu, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

“Idea gaji minimum bagi memastikan pelumba terus menerima bayaran sekiranya perlumbaan dibatalkan. Kami perlu saling membantu antara satu sama lain pada waktu-waktu yang sukar ini,” katanya.

Shahrol Yuzy, yang merupakan bekas pelumba kebangsaan MotoGP, bagaimanapun menegaskan bahawa gaji minimum itu tidak menggantikan bonus prestasi yang merupakan pendapatan utama pelumba.

Mesyuarat itu dihadiri wakil Pasukan Honda RCB Solaralert Cilik, Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Ipone Yamaha YY Pang, Idemitsu Honda Yuzy Racing, Hi-Rev SCK Honda Racing dan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing.

Kejohanan Cub Prix Malaysia 2020 dihentikan sejak pusingan pembukaan di litar Tangkak, Johor pada Mac selepas kerajaan memutuskan melarang sebarang perhimpunan massa bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :