Pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial diwajibkan kepada semua pelajar ketika berada di dalam kelas sebagai norma baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di SMK Jenjarom, Kuala Langat pada 24 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPENDIDIKAN

Pembukaan sekolah lancar, patuhi SOP, normal baharu

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Pembukaan semula sesi persekolahan hari ini berjalan lancar dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) normal baharu.

Setelah kira-kira tiga bulan terhenti akibat pandemik Covid-19, seramai 500,444 pelajar daripada 2,440 sekolah menengah yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), serta peperiksaan antarabangsa hari ini kembali semula ke sekolah untuk meneruskan pembelajaran mereka.

Hasil tinjauan Bernama di beberapa sekolah seluruh negara pada seawal 7 pagi, mendapati guru-guru yang bertugas memeriksa suhu badan pelajar di pintu masuk sekolah sebelum membenarkan mereka memasuki kelas masing-masing.

Pada masa sama, kesemua pelajar yang hadir dilihat memakai pelitup separuh muka, sementara beberapa guru pula turut memakai pelindung muka bagi tujuan keselamatan, selain mematuhi penjarakan sosial dalam kalangan mereka .

Di Selangor, tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia mendapati semua laluan telah ditanda dengan pelekat bagi menandakan arah yang perlu diikuti para pelajar dan guru bertujuan mematuhi jarak sosial.

Waktu rehat pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas juga dibahagikan pada tiga sesi bagi memastikan pelajar tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai pada satu masa, sekali gus mematuhi SOP pergerakan di sekitar sekolah.

-BERNAMA


Pengarang :