RENCANA

Pemuliharaan biodiversiti, demi kesejahteraan penghuni alam

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Ketika dunia masih berjuang menewaskan penularan pandemik Covid-19, alam persekitaran tetap menjadi platform bagi menyediakan sebuah kehidupan yang selesa kepada lebih tujuh bilion penduduk dunia.

Hari ini (5 Jun 2020), sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pastinya diraikan dalam suasana berbeza, lebih-lebih lagi ketika dunia berdepan dengan krisis kesihatan yang masih belum berakhir.

Tahun ini, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) memilih tema biodiversiti, Time For Nature bagi memperingati Hari Alam Sekitar Sedunia.

Tema bagi meraikan biodiversiti ini dilihat bertepatan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kepelbagaian organisma hidup dari pelbagai sumber untuk memastikan keseimbangan dan kelestarian ekosistem yang ada.

UNEP, sebuah badan ditubuhkan pada 1972 yang berperanan mengkoordinasikan aktiviti alam sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan membantu negara-negara sedang membangun melaksanakan dasar kemapanan alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mantap di dunia.

KESAN KEHILANGAN BIOVIDERSITI

Apabila pandemik Covid-19 melanda dunia, ramai yang berpendapat ia berpunca daripada kemusnahan dan kepupusan biodiversiti ekoran penerokaan hutan berleluasa sekali gus telah mengancam hidupan liar, seperti kelawar dan tenggiling yang dikaitkan dengan penyebaran wabak berkenaan.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Profesor Dr Ahmad Ismail berkata rentetan peristiwa itu, seluruh dunia ‘berdebat’ tentang betapa pentingnya melindungi habitat semula jadi dan tidak menjadikan haiwan eksotik sebagai hidangan.

“Kira-kira satu juta spesies di dunia menghadapi kepupusan, maka adalah sangat penting untuk memberi fokus kepada kepelbagaian biologi,” katanya kepada Bernama.

Ekosistem alam semula jadi iaitu tanah, air, udara, haiwan, tumbuh-tumbuhan serta unsur-unsur biologi saling melengkapi antara satu sama lain yang memberi keseimbangan kepada bumi yang didiami.

Namun, atas dasar tuntutan pembangunan dan ekonomi, banyak kepentingan alam dimusnahkan sehingga memberi kesan jangka panjang, terutamanya perubahan iklim dunia yang menyebabkan ketidaktentuan fenomena alam seperti banjir besar, cuaca sejuk melampau, taufan, kebakaran hutan dan kemarau.

Semua bencana ini akibat tangan-tangan manusia sendiri!.

Selain melindungi dan memulihara habitat hidupan liar, kita perlu melindungi kawasan hutan yang penting seperti Taman Negara, taman dan hutan di negeri-negeri seperti Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah, kata Ahmad Ismail.

SPESIES MAKIN BERKURANGAN

Jelas Ahmad Ismail, fenomena kesan rumah hijau akibat pelepasan gas dan aktiviti industri, asap kenderaan telah memberi impak kepada cuaca dunia ditambah pula dengan pencerobohan habitat alam, pemburuan haram dan menggondolan sumber hutan secara berlebihan.

“Sekiranya kita mahu alam sekitar yang bersih sudah tentu kita wajib menjaganya dan mesti ada sistem dan teknologi bagi memastikan kualiti alam sekitar terpelihara,” katanya menambah perubahan pada kualiti udara dan air, mengajar rakyat Malaysia betapa alam sekitar dan manusia saling bergantungan.

Sementara itu, pensyarah kanan Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak berkata, Malaysia sangat beruntung kerana tergolong dalam kalangan 17 negara di dunia yang berstatus megadiversiti, iaitu negara yang mempunyai kekayaan lebih 70 peratus kepelbagaian biodiversiti global.

Namun, katanya hidupan liar negara semakin berkurangan hari demi hari antaranya spesies spesies badak sumbu Sumatera dan Harimau Malaya.

Malah, katanya tidak menghairankan bahawa Harimau Malaya dikategorikan sebagai spesies terancam yang disenarai merah oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

“Bilangan Harimau Malaya semakin kritikal kerana direkodkan terdapat kurang 200 ekor ikon negara ini,” katanya menambah dalam tempoh lima tahun akan datang khazanah negara ini akan pupus sekiranya tiada langkah drastik diambil bagi mengekalkan populasi sedia ada.

Menurut beliau, cabaran komuniti dunia hari ini ialah mencari penyelesaian dan berusaha menangani secara serentak isu-isu kehilangan biodiversiti, perubahan iklim, kemerosotan tanah serta menempatkan biodiversiti dalam arus perdana ekonomi.

JANGKITAN PENYAKIT DARIPADA HAIWAN

Mengulas lanjut mengenai kesan kehilangan dan kemerosotan biodiversiti, Mohd Yusoff berkata senario berkenaan akan mengancam seluruh alam terutamanya aspek kesihatan manusia.

Berdasarkan statistik UNEP, haiwan menjadi faktor jangkitan utama bagi manusia iaitu, 60 peratus penyakit berpunca daripada haiwan, manakala 75 peratus penyakit terbaharu yang dihadapi manusia, juga berpunca daripada haiwan.

“Kehilangan biodiversiti menjadi punca perebakan penyakit yang disebarkan oleh haiwan kepada manusia,” katanya menambah penyakit seperti Ebola, selesema burung, Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERs), virus Nipah dan terkini Covid-19, semuanya dari haiwan yang menjangkiti manusia melalui aktiviti manusia.

Oleh itu, katanya amat penting memulihara dan menguruskan biodiversiti secara mampan untuk mengurangkan kesan gangguan iklim, menjamin keselamatan bekalan air dan makanan selain mencegah kemunculan wabak generasi baharu.

Mengikut data PBB, ikan menyumbang 20 peratus daripada jumlah protein haiwan kepada hampir tiga bilion manusia manakala lebih 80 peratus daripada diet manusia terdiri daripada tumbuhan.

Sementara itu, katanya lebih 80 peratus penduduk luar bandar di negara membangun bergantung kepada produk perubatan tradisi berasaskan tumbuhan dan kesihatan asas.

Dalam mengejar kemajuan era Revolusi Industri 4.0, kita sebenarnya bergantung sepenuhnya kepada ekosistem yang sihat dan utuh dalam menjamin sumber bekalan air, makanan dan ubatan, katanya.

Justeru, katanya adalah penting meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan biodiversiti hingga ke peringkat akar umbi dan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia adalah platform terbaik untuk melihat keberkesanan kesalinghubungan antara mansuia dan alam sekitar.

Semoga tahun 2020 akan dapat meratakan lekuk kehilangan pada graf biodiversiti negara demi kesejahteraan penghuni alam ini.

Disunting oleh Rafe ‘aton Md Ali

– BERNAMA


Pengarang :