Haniza Talha (kiri) mendapat maklum balas berhubung projek perumahan terbengkalai ketika lawatan di pangsapuri Axis Crown, Ampang yang baharu disiapkan pada 18 Jun 2020. Foto Facebook Haniza Talha
EXCOSELANGOR

Penantian pembeli rumah Axis Crown bakal berakhir – EXCO

SHAH ALAM, 21 JUN: Pembeli pangsapuri Axis Crown, Ampang boleh menarik nafas lega kerana penantian lebih sedekad lalu untuk mendiaminya bakal berakhir, kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata projek perumahan terbengkalai itu baharu siap dibina dan sedang menunggu sijil siap dan pematuhan (CCC) dikeluarkan sebelum kunci rumah diserahkan kepada mereka dijangka tahun ini.

“Ia tergendala sejak 2007 sebelum pengurusan diambil alih peliquidasi dan berada di bawah pemantauan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 2016 seterusnya diselesaikan pemaju penyelamat Ferrier Hodgson (M) Sdn Bhd.

“Sebanyak 368 unit rumah sudah dimiliki dengan kebanyakannya menunggu sejak 13 tahun lalu. Kini projek hanya tinggal lima peratus bagi mendapatkan CCC,” katanya kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya turut meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk menyenaraikan projek perumahan terbengkalai yang perlu diberi perhatian.

Bagaimanapun, katanya usaha menangani isu projek berkaitan akan mengambil sedikit masa berikutan membabitkan aspek undang-undang dan banyak pihak.

“Membantu rakyat mendapatkan hak atas masalah projek ini merupakan salah satu fokus saya kerana memahami susah payah dan sedihnya apabila rumah dibeli tidak dapat didiami.

“Saya sentiasa mendapatkan perkembangan projek terbengkalai daripada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor termasuk mencari ruang untuk memudahkan proses penyiapannya,” katanya.


Pengarang :