AGENSISELANGOR

Penceramah tiada tauliah beri kesan buruk – MPKK

KLANG, 5 JUN: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mahu isu penceramah tidak bertauliah menggunakan institusi masjid dan surau di negeri ini bagi menyampaikan ceramah agama berbaur politik diberi perhatian serius.

Biro Pemantapan Spiritual MPKK Bukit Kapar Md Jamaludin Ramlan, 52, berkata ia bagi mengelak timbul perkara meragukan dalam kalangan masyarakat terutama dengan penyebaran pantas maklumat di media sosial masa kini.

“Sebahagian (penceramah) tiada tauliah malah ada yang suka mencampur-aduk isu politik ketika menyampaikan kuliah dan hal ini sepatutnya tidak berlaku di tempat ibadat.

“Walaupun hanya 10 hingga 15 peratus penduduk yang datang ke masjid namun ia tetap memberi kesan buruk apabila menerima maklumat bertentangan dengan matlamat asal Kerajaan Negeri,” katanya pada Penyerahan Bantuan Kewangan Khas (BKK) Aidilfitri kepada Setiausaha dan Ahli Biro MPKK Kampung Tradisi Selangor di Pejabat Daerah Klang di sini semalam.

Md Jamaluddin, salah seorang daripada 408 penerima dari 34 kampung tradisi yang menerima manfaat tersebut melibatkan peruntukan RM122,400.

Beliau berkata bantuan itu sebagai bukti penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan pengorbanan ahli MPKK sepanjang berkhidmat kepada masyarakat setempat.

“Kami terharu dan berterima kasih atas sumbangan ini sekali gus merasakan segala penat lelah selama ini dihargai lebih-lebih lagi ketika musim Aidilfitri disambut dalam suasana norma baharu.

“Tidak dinafikan pelbagai masalah serta cabaran dihadapi untuk menguruskan kampung yang memiliki ramai penduduk tetapi saya selalu mengingatkan kepada ahli jawatankuasa supaya bersabar dan masing-masing memberi komitmen baik,” katanya.


Pengarang :