AGENDANASIONAL

Pendatang Indonesia negatif Covid-19 dihantar pulang

SHAH ALAM, 6 JUN: Seramai 2,861 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang negatif Covid-19 akan dihantar pulang mulai hari ini, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penghantaran pulang bagi fasa pertama itu membabitkan 2,189 orang daripada kumpulan tersebut di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) di Semenanjung dan Sarawak serta 672 di Sabah.

“Bagi kumpulan pertama ini, 450 Pati akan dihantar pulang dengan tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya serta diikuti pada 10 Jun ini dengan penghantaran pulang 445 lagi ke tiga destinasi sama.

“Proses penghantaran pulang juga akan menggunakan jalan laut di mana 1,294 Pati dijadualkan berlepas ke Medan pada 22 Jun ini,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata beberapa negara lain turut bersetuju dengan tindakan Malaysia untuk menghantar golongan terbabit ke negara masing-masing.

“Duta besar China juga sudah bersetuju untuk menerima lebih 500 rakyatnya semula, oleh itu saya menyeru supaya kedutaan lain yang mempunyai rakyat mereka di DTI Malaysia memberikan kerjasama supaya bantu rakyat mereka pulang ke negara masing-masing,” katanya.


Pengarang :