Anggota polis dan ATM mengawal jalan keluar masuk di pos kawalan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan secara pentadbiran di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 7 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Penduduk negatif Covid-19 boleh keluar masuk kawasan PKP pentadbiran

SHAH ALAM, 11 JUN: Penduduk Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama yang negatif Covid-19 dibenarkan melakukan pergerakan keluar masuk dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran.

Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim bagaimanapun berkata mereka tetap tidak dibenarkan merentasi negeri sehingga arahan PKP secara pentadbiran ditarik semula.

“Selepas saringan, penduduk akan dikategorikan Annex 14 iaitu diarahkan kuarantin di rumah selagi keputusan tidak diterima.

“Manakala, mereka yang terima Annex 17 ini dibenarkan keluar masuk kawasan kediaman tetapi tidak boleh merentas negeri selagi PKP secara pentadbiran belum selesai,” katanya kepada SelangorKini.

Jelas Mohd Jusni, setakat ini kes positif wabak itu kekal sembilan manakala keputusan saringan 20 penduduk yang belum diperoleh dijangka diterima hari ini.

“Penduduk tidak mengalami masalah bekalan makanan kerana mereka sudah boleh keluar membeli barangan keperluan masing-masing,” katanya.

Pada 3 Jun lalu, Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP secara pentadbiran sehingga 16 Jun ini susulan 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang tinggal di situ disahkan positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 4,627 penduduk di taman berkenaan disaring membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.


Pengarang :