ADNSELANGOR

Penduduk Sungai Ramal boleh tuntut baucar Jom Shopping SMUE

SHAH ALAM, 13 JUN: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal yang belum menerima baucar Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi Mac, April dan Mei, kini boleh mendapatkannya, kata Ahli Dewan Negerinya,

Mazwan Johar berkata mereka boleh hadir ke pusat khidmat masyarakat DUN berkenaan pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat bagi membuat tuntutan baucar RM100 yang tertangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kaunter pengambilan baucar dibuka pada minggu pertama Jun mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat dan peserta hanya perlu mengambil di aras bawah luar pejabat kerana ruang dalaman agak kecil tidak sesuai menampung bilangan pengunjung yang ramai,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menjalankan proses seperti itu sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini mengumumkan penjajaran semula skim terbabit yang memperuntukkan RM100 setiap bulan kepada golongan warga emas dan Orang Kelainan Upaya.

Pendaftaran SMUE boleh dibuat di mana-mana pejabat Pusat Khidmat DUN terdekat dengan kawasan tempat tinggal dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Careline Yayasan Warisan Anak Selangor di talian 03-5481 8800.


Pengarang :