Pekerja kontraktor sedang membersihkan sekitar kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Taman Kelab Ukay harap kerja baik pulih siap segera

SHAH ALAM, 15 JUN: Penduduk Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa berharap kerja membaik pulih tanah runtuh di belakang rumah mereka siap dalam tempoh enam bulan.

Pengerusinya Syed Zulkifli Syed Massir berkata pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat, namun mengikuti perkembangan tersebut dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

“Ketika ini penduduk terjejas diberi bantuan sewa bulanan sehingga RM3,000, namun sudah tentu kami rindukan kediaman sendiri serta mengharapkan kerja baik pulih siap dalam tempoh ditetapkan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 30 Mei lalu, penghuni di tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat itu.

Penduduk kemudian dipindahkan ke Hotel De Palma Ampang selama tujuh hari dengan kos ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri turut memberi bantuan sewa rumah RM1,000 selama enam bulan dan sumbangan kewangan RM500 manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukkan sehingga RM3,000 bagi bantuan sewa.


Pengarang :