Anggota polis dan ATM mengawal jalan keluar masuk di pos kawalan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan secara pentadbiran di Pangsapuri Utama Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 7 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Penduduk Taman Langat Utama, Taman Langat Murni tak dibenar rentas negeri

SHAH ALAM, 9 JUN: Penduduk Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni yang menjadi lokasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran dilarang untuk merentas negeri, kata Pegawai Daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata penduduk hanya boleh berbuat demikian selepas PKP kawasan tersebut yang bermula 2 Jun tamat pada 16 Jun ini.

“Penduduk bebas untuk keluar masuk kawasan ini tetapi kami ingin mengingatkan mereka dilarang merentas negeri dan diharap semua pihak patuh arahan pihak berkuasa.

“Dalam pada itu pihak kami sentiasa memantau keadaan penduduk dan jika ada yang mengalami ketidakstabilan emosi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menyediakan perkhidmatan kaunseling,” katanya.

Jusni berkata setakat ini JKM telah mengedarkan sebanyak 1,842 bakul makanan bekalan asas kepada penduduk yang memerlukan.

Pada 7 Jun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memperuntukan RM100,000 untuk membekalkan bantuan makanan kepada penduduk di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni.

PKP secara pentadbiran dikuat kuasakan apabila 24 pekerja pembersihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tinggal di taman berkenaan positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 4,627 penduduk di taman berkenaan disaring dan ia membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.


Pengarang :