TUDM melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi, masing-masing berusia 11 hari dan dua bulan dari Kuching, Sarawak ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 6 Jun 2020. FOTO: Ihsan TUDM
AGENDANASIONAL

Penerbangan ihsan TUDM bawa dua pesakit jantung

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi, masing-masing berusia 11 hari dan dua bulan dari Kuching, Sarawak ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Dalam kenyataannya, TUDM memaklumkan kedua-dua bayi bersama ibu masing-masing diterbangkan dari Pangkalan Udara Kuching dengan pesawat pengangkut A400M daripada No 22 Skuadron.

“Kedua-dua bayi itu yang masing-masing mempunyai masalah jantung Partially Obstructed Total Anomalous Pulmonary Vein Drainage dan Congenital Heart Disease of Transposition of Great Arteries sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Kuching tiba kira-kira 6.50 pagi tadi di Pangkalan Udara Subang dan dibawa ke IJN dengan diiringi pegawai dan petugas perubatan daripada HUS,” demikian menurut kenyataan itu.

TUDM mendoakan agar kedua-dua bayi berkenaan dapat menjalani rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan dan kembali sihat.

-BERNAMA


Pengarang :