Nik Norizan Ibrahim, ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Unit Pangsapuri Selangorku Seri Temenggong di tapak projek rumah pangsapuri Seri Temenggong, Batu Caves pada 27 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Peneroka teruja Kerajaan Negeri tawar harga Rumah Selangorku lebih rendah

BATU CAVES, 27 JUN: Peneroka asal Kampung Seri Temenggong teruja ditawarkan kediaman selesa dengan harga rendah di bawah projek Rumah Selangorku.

Seorang penerima, Nik Norizan Ibrahim, 58, berkata tawaran RM65,000 oleh Kerajaan Negeri bagi satu unit kediaman dengan keluasan 900 kaki persegi sangat berbaloi dimiliki.

“Saya terharu kerana harga ditawarkan sangat mampu milik. Ruang rumah yang luas memberi keselesaan kepada saya lima sekeluarga,” katanya selepas menerima surat tawaran Pangsapuri Selangorku Seri Temenggong yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di tapak projek berkenaan hari ini.

Peneroka asal tapak Kampung Seri Temenggung melihat melihat model Unit Pangsapuri Selangorku Seri Temenggong di tapak projek rumah pangsapuri Seri Temenggung, Batu Caves pada 27 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau yang menetap di kampung itu lebih 30 tahun juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Selangor yang membantu peneroka mendapatkan semula hak milik tanah.

“Saya gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu kami (peneroka) mendapatkan hak yang sepatutnya,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Abdul Ayup, 74 selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Unit Pangsapuri Selangorku Seri Temenggong Kepada 29 Peneroka Asal Tapak Kampung Seri Temenggung di tapak projek rumah pangsapuri Seri Temenggung, Batu Caves pada 27 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Seorang lagi penerima, Abdul Ayup, 74, berkata impian memiliki rumah pertama tercapai selepas menanti hampir tiga tahun.

“Jika diikutkan, tiga tahun lalu kami (peneroka) diberi tawaran buat rumah berharga antara RM160,000 hingga RM200,000 namun diarah bayar hanya RM65,000.

“Saya berbesar hati terutama kepada Kerajaan Selangor dan pemaju yang mengambil berat perkara ini. Anak-anak pasti gembira dapat khabar boleh pindah ke rumah baharu awal tahun hadapan,” katanya.


Pengarang :