Petugas dari Pejabat Kesihatan Kuala Langat mengambil sampel saringan Covid-19 ke atas seorang warga asing di Pangsapuri Langat Utama pada 1 Jun 2020. FOTO: BERNAMA
AGENSISELANGOR

Pengambilan sampel penduduk PKP Pentadbiran dijangka selesai esok

SHAH ALAM, 4 JUN: Sebanyak 2,250 sampel ujian Covid-19 diambil di tiga zon Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran di Kuala Langat bermula 30 Mei hingga Selasa lalu, kata pegawai daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata proses itu membabitkan 1,499 rakyat tempatan dan 751 warga asing dengan anggaran 9,000 penduduk secara keseluruhan.

“Saringan dijalankan setiap hari bermula 30 Mei dan pengambilan sampel daripada keseluruhan penduduk dijangka dapat diselesaikan pada Jumaat ini (esok),” katanya menerusi Facebook semalam.

PKP Pentadbiran dilaksanakan di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, Bukit Changgang, Kuala Langat berikutan kes 24 pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati positif Covid-19 pada 28 Mei lalu dengan 20 daripadanya menetap di Kuala Langat dan empat lagi di Nilai, Negeri Sembilan.

Kesemua 114 warga Bangladesh dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan pesakit dan pengambilan sampel serta pengasingan dibuat di stesen kuarantin di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) setakat 29 Mei.

Perintah selama dua minggu bermula Selasa hingga 16 Jun ini merupakan PKP Pentadbiran terbesar di Malaysia dengan pemasangan pagar kawat berduri terpanjang dengan jarak 4.1 kilometer.


Pengarang :