Orang ramai memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial ketika menaiki LRT selepas kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi ketika tinjauan pada 6 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengangkutan awam kini boleh beroperasi sepenuhnya

SHAH ALAM, 11 JUN: Perkhidmatan e-panggilan dan teksi dibenarkan beroperasi tanpa had masa mengikut kapasiti kenderaan masing-masing ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata bayaran tambang pula dibuat tanpa tunai dan penumpang serta pemandu diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang perjalanan.

“Penggunaan aplikasi MySejahtera perlu dimuat turun bagi proses menjejak kontak rapat selain digalakkan membuat sanitasi selepas selesai operasi,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kerajaan turut bersetuju membenarkan operasi bas ekspres dengan kapasiti penuh tanpa had masa mulai hari ini selepas mengambil kira kebanyakan perjalanan dari malam hingga subuh.

“Bagaimanapun, pengusaha bas perlu mendaftar penumpang melalui aplikasi MySejahtera atau manual dan memeriksa suhu badan mereka serta memakai pelitup muka,” katanya lagi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata pengangkutan awam termasuk bas, feri, kereta api, transit aliran ringan (LRT) dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh mulai hari ini.

“Bagi kenderaan yang membenarkan penumpang berdiri, penumpang perlu mengawal kendiri penjarakan sosial supaya tidak berhimpit dan bersesak,” katanya.

Pesawat penerbangan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh tetapi perlu merekodkan suhu penumpang dan diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang perjalanan, jelasnya.


Pengarang :