Orang ramai memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial ketika menaiki LRT selepas kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi ketika tinjauan pada 6 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengguna boleh nikmati pakej My30 mulai Isnin ini – Prasarana

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Pengguna MRT, LRT, monorel, BRT dan bas henti-henti Rapid KL bakal menikmati kemudahan kad perjalanan tanpa had My30, yang menawarkan perjalanan tanpa had RM30 untuk tempoh 30 hari bermula Isnin ini (15 Jun).

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Muhammad Nizam Alias dalam kenyataan hari ini berkata pakej eksklusif untuk rakyat Malaysia itu boleh didaftar mulai Isnin di semua 122 buah stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan lima hab bas di Pasar Seni, Seksyen 2, Shah Alam, Greenwood, Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.

“Pakej My30 yang menggantikan sementara pas perjalanan tanpa had My100 dan My50, adalah sah bagi tempoh enam bulan dari 15 Jun hingga akhir Disember, dan merupakan inisiatif yang cukup bijaksana daripada kerajaan dalam menjana semula ekonomi negara yang amat terkesan daripada penularan wabak Covid-19,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pagi ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun lepas berkata inisiatif My30 yang menyediakan kemudahan perjalanan tanpa had menggunakan semua perkhidmatan kendalian Prasarana dengan hanya RM30 untuk tempoh 30 hari.

Menggunakan analogi kos perjalanan sehari adalah bersamaan dengan harga sekeping roti canai iaitu RM1, Muhammad Nizam berharap pengguna dapat memanfaatkan produk My30 sebaik mungkin dan terus menggunakan rangkaian perkhidmatan Rapid KL.

“Sejurus selepas berakhir promosi untuk My30 ini, pakej-pakej My100 dan My50 akan dijual semula mulai 1 Januari 2021.

“Pihak pengurusan Prasarana sentiasa mendukung aspirasi kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat dan ternyata pakej My30 menawarkan penjimatan yang jauh lebih hebat,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Nizam juga mengulangi nasihat kepada pengguna untuk sentiasa mematuhi etika dalam normal baharu penggunaan pengangkutan awam khususnya pemakaian pelitup muka dan menjaga kebersihan diri khususnya mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman.

“Ini adalah amat penting bagi mencegah penularan wabak Covid-19, yang masih berisiko. Kita mesti terus bertindak memutus penularan wabak koronavirus ini dan memastikan kita menang dalam perjuangan ini,” katanya.

Pengguna Rapid KL boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pas My30 daripada kakitangan Rapid KL di stesen rel atau hab bas. Selain itu, mereka juga boleh melayari media sosial Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my.

– BERNAMA


Pengarang :