Orang ramai beratur menaiki bas ketika tinjauan hari keempat Pergerakan Rentas Negeri di Terminal Pengangkutan Awam, Seksyen 17 Shah Alam pada 10 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengusaha bas dakwa rugi, tidak dapat beroperasi

SHAH ALAM, 8 JUN: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia mendakwa tidak dapat memulakan operasi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana menanggung kerugian besar.

Presidennya Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata pengusaha bas tiada motivasi kerana tatacara operasi piawai (SOP) hanya membenarkan separuh penumpang dibawa daripada kapasiti sebenar pengangkutan awam, lapor Berita Harian.

“Sebanyak 120 syarikat bas menanggung kerugian sejak PKP dikuat kuasa bermula 18 Mac lalu dan SOP baharu ini tidak dapat menampung kos operasi yang terpaksa ditanggung kami.

“Syarikat tidak boleh menaikkan tambang sewenang-wenangnya kerana ia dikawal kerajaan. Jadi, kami berharap perbincangan secara bersemuka dengan kerajaan dapat dilakukan segera bagi membincangkan masalah ini,” katanya.

Hari ini, menteri kanan (kluster keselamatan) berkata kerajaan tidak membenarkan bas beroperasi dengan kapasiti penuh kerana bertentangan dengan SOP dan penjarakan sosial ditetapkan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas, Transit Aliran Ringan (LRT) serta Transit Aliran Massa (MRT) perlu dikurangkan separuh daripada kapasiti sebenar bagi mengelak sentuhan dan kesesakan.


Pengarang :