V. Ganabatirau meluangkan masa berbual bersama penerima program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan di Bangunan SUK, Shah Alam pada 29 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Peniaga lega dapat bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

SHAH ALAM, 29 JUN: Bantuan RM400 kepada peniaga kecil melalui program Blueprint Pembasmian Kemiskinan melegakan golongan itu yang terjejas pendapatan susulan Covid-19.

Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Masyarakat Hulu Selangor Azizan Mat Hashim berkata bantuan tersebut memanfaatkan 201 peniaga di kawasan itu yang kebanyakan menjual makanan.

Azizan Mat Hashim

“Ramai yang terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), justeru bantuan ini menenangkan mereka. Sebenarnya ramai yang layak tetapi kita pilih yang terjejas teruk,” katanya ketika ditemui di Bilik Mesyuarat Kekwa, Bangunan SUK hari ini.

Penghulu Mukim Sungai Buloh 1 Yusri Abdullah pula berkata 45 peniaga kecil terpilih di kawasannya putus pendapatan ketika PKP dan kini berniaga dari rumah.

“Bagus apabila ada bantuan ini. Kita juga melawat rumah mereka untuk lihat sendiri perkembangan perniagaan,” katanya.

Terdahulu, seramai 1,072 individu di seluruh negeri menerima bantuan tersebut dengan peruntukan RM430,000 yang diserahkan EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor sejak 2008 memberi peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.


Pengarang :