AGENDANASIONAL

Persatuan penerbit hargai kebenaran sambung penggambaran 10 Jun

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan syarikat penerbitan drama, filem dan iklan kembali beroperasi mulai 10 Jun.

Presidennya Panchacharam Nalliah atau Pansha berkata walaupun dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat, namun ia membantu melaksanakan proses penggambaran yang lama tertangguh.

“Terima kasih sekali lagi kepada kerajaan yang amat prihatin terhadap industri kreatif Malaysia.

“Pada masa sama dapat menggerakkan semula ekonomi industri dengan kebiasaan baharu dan memberi peluang kepada penggiat seni kembali aktif,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada Bernama.

Dalam sidang media harian mengenai Covid-19 semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti penggambaran drama, filem dan iklan boleh beroperasi mulai 10 Jun dengan mematuhi SOP ketat.

-BERNAMA


Pengarang :