AGENDAEKONOMINASIONAL

Pertumbuhan sektor kewangan Islam cecah RM3 trilion pada 2020

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Sektor kewangan Islam Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan dua digit sehingga mencecah hampir RM3 trilion pada tahun 2020 di bawah Pelan Induk Pasaran Modal kedua, kata Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Pengerusi Bursa Malaysia Bhd berkata industri dana Islam negara mempamerkan pertumbuhan memberangsangkan.

Setakat Mac tahun ini, dana Shariah bernilai RM170 bilion mewakili 23 peratus daripada jumlah industri aset di bawah pengurusan (AUM) sementara nilai aset bersih unit (NAV) dana amanah Shariah berjumlah RM99 bilion mewakili kira-kira 23 peratus daripada keseluruhan industri NAV.

“Promosi berterusan oleh industri pengurusan aset dapat membantu menyumbang kepada kesedaran lebih besar mengenai pelaburan Shariah kepada sekumpulan pelabur lebih luas.

“Terdapat peluang lebih jauh untuk inovasi dan pengembangan produk bagi menyediakan rangkaian produk berasaskan Shariah yang lebih meluas untuk industri ini,” kata Abdul Wahid dalam ucaptama pada Persidangan Maya Pelaburan Shariah 2020 di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia telah diakui semua sebagai yang terdepan dalam kewangan Islam, menjadi peneraju dalam mempromosikan proposisi yang bertanggungjawab secara sosial berdasarkan nilai bersama dengan kewangan Islam.

Negara ini merupakan pasaran ketiga terbesar bagi produk kewangan Islam global dan penerbit Sukuk terbesar di dunia.

Pada 2019, Malaysia menduduki tempat pertama dari segi dana Islam AUM dengan 34 peratus penguasaan global, kata Wahid.

Bursa Malaysia, katanya juga berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai pemimpin global untuk penyenaraian dan pelaburan Shariah.

“Bursa Malaysia-i, platform pelaburan patuh Shariah kami yang lengkap (end-to-end) menawarkan pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan penyenaraian, perdagangan, penjelasan, penyelesaian dan penyimpanan. Bursa Malaysia-i disokong oleh 16 broker Islam,” katanya.

Setakat Mei 2020, 732 dari 932 syarikat tersenarai di Bursa, atau 79 peratus adalah patuh Shariah, dengan permodalan pasaran Shariah merangkumi 70 peratus daripada jumlah permodalan pasaran sebanyak RM1.6 trilion, kata Abdul Wahid.

Nilai purata perdagangan harian sekuriti patuh Shariah menguasai 70 peratus daripada keseluruhan jumlah purata harian (ADV) sebanyak RM2.8 bilion dengan indeks Shariah secara konsisten mengatasi rakan konvensionalnya sejak 10 tahun lepas, kata beliau.

“Indeks Shariah Hijrah FTSE Bursa Malaysia, yang terdiri daripada 30 syarikat patuh Shariah terbesar di Indeks EMAS FTSE Bursa Malaysia, secara konsisten mengungguli FTSE Bursa Malaysia KLCI, berkembang sekitar 32 peratus antara 2010 dan Mei 2020.

“Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa pelaburan patuh Shariah adalah sumber nilai menarik bagi pelabur,” tambahnya.

-BERNAMA


Pengarang :