AGENDAPENDIDIKAN

Petronas taja 370 pelajar cemerlang lanjut pengajian

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini mengumumkan penajaan pendidikan kepada 370 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP), universiti tempatan dan antarabangsa terkemuka dalam pelbagai bidang.

Naib Presiden Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan itu, Farehana Hanapiah berkata di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP), jumlah pelaburan untuk tahun ini bernilai lebih RM100 juta, dan merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat Petronas dalam bidang pendidikan.

“Ini adalah usaha yang dilaksanakan Petronas sejak 45 tahun lepas. Kami sentiasa percaya bahawa pendidikan adalah kunci untuk memperkasakan masyarakat kita dalam memperbaiki taraf hidup dan pengetahuan mereka, dengan tujuan untuk memperkaya kehidupan dan memacu negara menuju masa depan kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Petronas menerima lebih 10,000 permohonan penajaan dari seluruh Malaysia tahun ini dan proses pemilihan PESP dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian untuk semua calon yang disenarai pendek.

Sejak 1975, Petronas telah menaja kira-kira 37,000 pelajar Malaysia di bawah PESP dengan tajaan pendidikan bernilai lebih RM3.3 bilion ke Australia, Kanada, China, Jepun, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat, serta di UTP dan universiti tempatan.

– BERNAMA


Pengarang :