AGENSISELANGOR

Petugas hadapan Air Selangor disaring Covid-19, tingkat keselamatan

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Sebagai sebahagian usaha untuk mengekalkan keselamatan dan kesihatan kakitangan serta pelanggan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas petugas barisan hadapannya bermula semalam.

Kenyataan Air Selangor menyebut ujian itu, yang dijalankan dengan kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dilaksanakan apabila perlu dan kira-kira 900 kakitangan dikenal pasti di seluruh Pejabat Serantaunya untuk saringan.

“Petugas barisan hadapan Air Selangor yang perlu menjalani ujian Covid-19 adalah termasuk mereka terlibat dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, membaca meter, keselamatan dan jawatan terpilih lain yang memerlukan mereka menjalankan tugasan berdekatan pelanggan serta orang awam.

“Inisiatif ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun oleh kerajaan yang mungkin meningkatkan penglibatan antara orang awam dengan pekerja Air Selangor,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor turut menubuhkan pasukan petugas khas di bawah Seksyen Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) pada 12 Mac bagi membantu kakitangannya menyediakan maklumat terkini, menjawab pertanyaan mengenai Covid-19 serta menjalankan prosedur nyah cemar di semua premisnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif berkaitan Covid-19 atau sebarang perkara berkaitan Air Selangor, sila hubungi 15300, WhatsApp ke 019-2800 919 or 019-2816 793, Media Sosial (Facebook, Twitter, and Instagram) dan e-mel Air Selangor ([email protected]).

-BERNAMA


Pengarang :