Pelajar menjalani pemeriksaan suhu badan dan sanitasi tangan di depan pintu sekolah sebagai satu tatacara operasi piawai (SOP) di SMK Jenjarom, Kuala Langat pada 24 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PIBG bantu sekolah lancarkan operasi buka semula

SHAH ALAM, 25 JUN: Kerjasama pihak sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melancarkan operasi pembukaan semula sesi persekolahan semalam, kata Penggerak Ibu Bapa Komuniti (PIBK).

Wakilnya, Datuk Shuhery Shuib berkata PIBG bukan sekadar menyumbang tenaga sebaliknya memperuntukan dana membeli keperluan pelajar dalam usaha memastikan keselamatan terjamin.

“Selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dikuatkuasakan, sekolah ditutup dan banyak aktiviti dirancang tergendala. Jadi peruntukan yang ada kita gunakan untuk membeli cecair pembasmi kuman serta keperluan lain.

“Dua minggu sebelum sekolah dibuka, PIBG juga turun ke sekolah melihat dan membantu proses pengendalian SOP (tatacara operasi piawai) serta tidak menyerahkan semua tanggungjawab kepada sekolah kerana ingin pastikan tahap keselamatan anak-anak memuaskan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Shuhery berkata, PIBG juga bersedia sekiranya kerajaan mengumumkan pembukaan sepenuhnya sesi persekolahan memandangkan ia membabitkan lebih ramai pelajar dengan tanggungjawab besar sekolah termasuk ibu bapa mengendalikan mereka terutama sekolah rendah.

Semalam, sekolah kembali dibuka membabitkan 500,444 pelajar yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa.


Pengarang :