AGENSISELANGOR

PKNS Uptown Shah Alam kembali operasi

SHAH ALAM, 17 JUN: PKNS Uptown Shah Alam kembali beroperasi bermula 15 Jun lalu dan dibuka sepenuhnya kepada pengunjung mengikut tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Utara PKNS, Ir. Mohd Muhidin Faharuddin berkata pembukaan semula ini adalah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuat kuasa kerajaan minggu lalu.

Katanya, pihak PKNS melakukan sanitasi sebelum peniaga dan pengunjung dibenarkan memasuki premis jualan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan semua pihak di samping menempatkan anggota RELA bagi mempertingkat kecekapan pengawalan kawasan premis.

“Sebelum memasuki premis Uptown Shah Alam, setiap pengunjung diwajibkan untuk memakai pelitup muka, menyaring suhu badan dan menggunakan aplikasi SELangkah bagi membantu ‘contact tracing’ selain hanya 100 orang pengunjung sahaja yang akan dibenarkan pada satu masa”,” katanya pada kenyataan media.

Muhidin berkata pembukaan semula Uptown Shah Alam adalah langkah tepat dalam pelan pemulihan ekonomi terutamanya kepada lebih 400 peniaga di PKNS Uptown Shah Alam sendiri apabila mereka dapat kembali menjalankan aktiviti perniagaan di sini.

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam kerana memberikan kerjasama sangat baik terutamanya dalam penyelarasan SOP operasi seterusnya kelulusan untuk Uptown Shah Alam kembali dibuka,” katanya.

PKNS Uptown Shah Alam dibuka setiap hari bermula 3 petang sehingga 10 malam sepanjang tempoh PKPP dan pengunjung dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP serta elakkan membawa golongan berisiko bagi mencegah jangkitan Covid-19.


Pengarang :